Thursday, December 22, 2016

DRAMA TV TANPA JIWA: DI MANA SILAPNYA



Drama TV tanpa jiwa cerita, di mana silapnya?

Tengah makan nasi dengan kurma ayam terfikir pula kenapa agaknya drama-drama yang kita saksikan di TV kurang bermaya atau tanpa jiwa. Kadang-kadang dihabiskan masa dua jam menonton drama melayu dan rasa menyampah pula kerana ruginya masa dua jam dihadapkan di depan tv. Kalau ikutkan hati, teringin juga nak bersemangat dengan hero yang wataknya amat baik dan sentiasa membantu orang. Ada kalanya sebelum menonton, teringin juga nak bersedih sekejap dengan nasib menimpa watak utama atau orang yang disayanginya di dalam drama yang ingin ditonton. Malangnya, cuma meluat dan menyampah saja yang terasa. Keinginan cuma jadi kempunan sahaja.

Terfikir saya kenapa agaknya drama yang disiapkan tidak ada roh dramanya. Tidak menyentuh perasaan! Kerap kali menghampakan.

Saya tulis renungan ini dengan menolak perkiraan stesyen bayar cikai atau produser kaki penipu. Itu pun antara sebab juga tapi saya menolak perkiraan ini dalam pertimbangan saya.

1. Emosi yang berulang
Drama kita tah apa yang difikir penulis selalu akan mengulang emosi perwatakan meleret sedih atau meleret cemburu tanpa sedar orang dah menyampah! Ubahlah sedih tu, ubah lah dengki tu!

Penulis tidak sedar orang dah cemuih dengan emosi yang berulang dari satu babak ke satu babak.

Misalnya cerita aku nak kahwin pemuda hensem anak orang kaya dan CEO syarikat. Maka akan berulanglah dialog dibawa mengenai keinginannya untuk kahwin. Dengan kawan, dengan emak, dengan ayah, dengan musuh cinta dan sebagainya. Dalam satu drama, tak ada benda lain dia nak sembang cuma pasal keinginannya nak kahwin dengan CEO. Kalau dalam drama 90 minit, 30 minit saja masa diuntukkan sipelakon mencurahkan keinginan cintanya dalam pelbagai dialog dengan emosi yang serupa.  Kononnya... cara begitu lakonannya memberangsangkan. Maka egonya mungkin tinggi kot kerana dirasanya itu lakonan bermutu tapi.. apa gunanya semua itu kalau drama itu malap tanpa jiwa!

Sekala sekali sudahlah kalau nak kata teringin nak kahwin sangat pun. Orang dah dengar! Malu lah sikit. Anak dara ni jarang sebut cek nak kahwin sangat! Dah gatal dah ni! Sekali saja sebut dah ada orang dengar. Ambillah 25 minit yang lain itu untuk kuatkan konflik dan perwatakan.

Biasanya penulis mempunyai format khas dalam pembentukan mental penulisan mereka. Pertamanya sebut keluar kerisauan. Bila dah sebut keluar tentu dah cukup kuat laungan. Orang tahu dia marah, atau dia sedih atau dia berahi cinta sebagainya. Kedua, biar kawan baiknya pula mengulang benda yang sama dengannya. Baru ada support. Ketiga, emak dan bapa pula kena lah sebut benda yang sama, maka tentulah terasa kesedihannya, maklumlah sudah mak, bapa dan kawan sendiri tahu. Ini format biasa. Masa banyak dihabiskan di sini.

Berulangkali berbual benda yang sama. Cerita tidak berjalan.  

(Emosi boleh berulang kalau ianya di dalam cerita komedi tapi timing nya mestilah sempurna. )

2. Masa yang pendek untuk membina drama
90 minit drama atau 120 minit dalam sesetengah cerita dirasakan tidak cukup untuk membentuk drama yang kuat. Bila menulis cerita, tiba tiba sahaja rasa masa itu tidak cukup. Kenapa agaknya?

Jawapan pertama saya adalah penulis menulis mengikut falsafah yang ingin disampaikan. Maklumlah dia penulis, banyak sangat falsafah dan ilmu yang dipelajarinya. Maka dia ingin sampaikan terlalu banyak ilmu itu sehingga, isi ceritanya kosong.

Kalau dia mahu berbual mengenai sembahyang tahajud sahaja, maka mungkin 10 minit masa diambil untuk menceritakan kemanisannya. Malangnya cerita mulut sahaja kemanisan tahajud itu tidak sama dengan kemanisan perasaan penonton merasai apa itu yang didapati dari sembahyang tahajud. Maka ceramah panjang saja, dapatnya kosong. Masa 10 minit diambil untuk berceramah mengenai tahajud sahaja lari langsung dari perancangan cerita, maka masa yang tertinggal, pendek jadinya. Itu baru satu filosofi yang mahu diketengahkan, kalau ada 10, maka peninglah dibuatnya.

Lainlah kalau dia bersembahyang tengah malam, maka kita tunjukkan pokok pokok pun bersujud bersamanya. Maka sedikit sebanyak dapatlah penonton merasai magik-nya sembahyang tahajud. Tak perlu pun dia berceramah mengenai bagusnya sembahyang tahajud. (contoh sahaja bukan elemen tahyul no...)  

10 minit untuk satu falsafah...... tanya diri elok disampaikan dalam bentuk ceramah dialog ke, atau disampaikan dalam bentuk penghayatan cerita. Ambil perhatian... kita perlu cerita yang bergerak.

Jangan matikan pergerakan cerita dengan ceramah falsafah yang ingin kita sampaikan.  Pastikan falsafah kita itu salah satu daripada kepentingan dalam bercerita... bukannya syarahan kita!

Bukan hanya ketekunan menyampaikan falsafah saja boleh memendekkan masa penceritaan, banyak lagi faktor lain. Contoh satu umpamanya adalah contoh terbaik ruginya masa yang dimainkan. Apabila kita boleh memainkan perasaan penonton, kita harus tumpukan kepada pergolakan dialog yang sama antara watak berlainan saja. Membosankan!

Masa boleh menjadi pendek dan tidak sempat kita mengendalikan drama kita kalau kita bercrita mengikut kronologi kejadian. Lepas satu, satu jadi, lepas satu pula, satu yang lain, berturutan.
Mak ikut kronologi saja perjalanan cerita tanpa menampakkan unsur dramatik di dalam drama, jadinya drama kita malap. Sibuk menyusun ikutan kejadian saja.... ceritanya atau konfliknya tak ada.

Contohnya, balik rumah, telefon ayah nak balik. Kemudian pandu kereta melepasi laluan bandar, kemudian kampung. Berbual dengan orang sebelah nak balik kampung. Penting sangat nak balik. Nyatakan kerisauan sebab nak balik kampung. Tunjuk pula ibu bapa di rumah, risaukan anak, tanya pula, anak nak balik atau tidak. Kemudian, kereta masuk jalan kampung. Intercut, ayah pula turun kerumah, pergi masjid. Anak sampai rumah. Kereta membrek. Keluar kereta. Berjalan masuk ke rumah. Memberi salam. Ibu mnjawab. Terkejut anaknya sampai di rumah.

Rimas sebenarnya saya menulis begini. Rasa bosan!

Ini dinamakan susunan kejadian mengikut ikutan masa. Kronologi kejadian. Ini sesuatu yang membosankan kecuali dalam cerita thriller atau seram.

Elaklah menulis benda begini.

Cara untuk elaknya agak komplek untuk difahami. Dalam tulisan saya yang sebelum ada saya ceritakan dengan panjang lebar.

3. Tidak pandai menyusun plot dalam genre drama yang dipilih.
Kita menulis mestilah mengikut genre yang kita pilih untuk lakarkan penceritaan kita. Kalau kita anggap semua genre itu sama, maka kelam kabutlah jadinya drama kita. Jadilah Roh A masuk dalam cerita B dan Roh C masuk dalam cerita A dan bercelaru sana sini.

Perkembangan plot dan pembentukan perwatakan dalam genre-genre drama yang dipilih adalah amat berbeza dari satu genre ke satu genre.

Dalam komedi kita boleh masukkan sedikit unsur kronologi atau pengulangan emosi. Contohnya Najib nak balik rumah kerana baru kona duit dari pejabat. Terpaksa lari. Boleh tunjukkan apa jadi bila dia nak keluar pejabatnya. Boleh pula kita lawakkan apabila dia ke kereta. Mungkin Mahathir menunggu dengan polis. (tak ada kena mengena dengan hidup atau mati ni.. khayalan saja...) Terpaksa pula menumpang kereta Low yang begitu setia menunggu, tambahan pula mereka boleh bincang perkara lain yang boleh mereka kelentongkan. (sekali lagi tak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati). 

Kalau format ini digunakan dalam melodrama, jadilah merepek. Najib nak keluar pejabat kerana tipu orang. Kemudian dapati ramai orang menunggu di luar pejabat. Pilih laluan lain untuk keluar. Kemudian nampak mahathir menunggunya di keretanya. Susah jadinya. Kemudian tiba tiba Low sampai membantunya, sembang pula pasal nak kona orang lain. Maka bersusunlah kronologi kejadian.

Bosan jadinya.

Ia jadi tak kena kerana dalam melodrama kita nak mainkan perasaan penonton. Dalam komedi, kita nak melucukan senario atau persekitaran. Kita tidak boleh menimbulkan rasa dalam perspektif persekitaran sahaja. Rasa harus dibina dengan membawa penonton untuk merasa.

Saya perhatikan apabila penulis yang berlatarbelakang pelawak atau pelakon komedi menulis skripnya dalam genre lain akan menjadi malar dan agak bosan.

Banyak lagi contoh tetapi genre yang berbeza memerlukan penggunaan susunan plot yang berbeza.

Sebenarnya, seorang penulis seharusnya tahu genre mana keahliannya dan tumpukan keahliannya dalam genre tersebut. Jangan terlalu 'tamak' dalam memilih 'genre'. Cukuplah kita berusaha sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang dan tumpukan dalam bidang tersebut.

4. Tidak memahami teknik bercerita
Roh cerita tidak masuk ke dalam cerita kerana sebenarnya kita tidak tahu bercerita.

Macam mana pula penulis tidak tahu bercerita, macam mana dia jadi penulis!

Penulis tahu lah serba sikit bercerita tetapi dia tidak memahami rangka teknik penulisan. Kalau dia faham tentunya ceritanya akan menjadi kemas dan cantik.

Apa dia rangka penulisan?

Ia adalah susunan plot mengikut urutan emosi.

Saya sering tonjolkan perkara ini. Ia adalah urutan kejadian yang berlaku pada watak utama sehingga mendorong pembinaan rasa di dalam cerita.

Para penulis biasa tidak memahami kepentingan rangka penulisan ini. Mereka cuma menulis mengikut perasaan dan mengikut apa yang datang dalam pemikiran mereka. Tanpa ada rangka yang harus diikuti.

Rangkanya
1. Pengenalan watak dengan menyimpulkan tajuk penceritaan.
2. Harpaan para watak
3. Harapan yang makin membara
4. Kegagalan pada harapan
5. Patah lagi pengharapan kepada yang lainnya
6. Langsung kekecewaan.
7. Sedikit kecerahan
8. Setback dalam kecerahan
9. lagi kehinaan
10. Jalan keluar yang menjadi.
11. Twist cerita.

Ini contoh cara kita membawa cerita. Banyak lagi cabang lainnya tetapi cabang ini dikira popular dan selamat.

Dengan adanya rangka ini mudah untuk penulis memainkan plotnya. Mudah pula dia memasukkan rasa di dalamnya. Sebenarnya terlalu banyak cara nak memainkan unsur roh cerita dalam membentuk cerita mengikut rangka yang telah kita tetapkan.

Apapun cara yang kita pilih seharusnya kita mempelajari teknik jalngan sama sekali melengahkan perkembangan plot.

Mulakan cerita kita dengan kejadian amat penting dalam penceritaan. Jangan membina cerita untuk dibawa kepada kejadian yang penting itu. Selamatkan masa penulisan dengan meletakkan unsur yang paling penting sekjali dihadapan dan kemudian ukirkan cerita disekelilingnya.

No comments:

Post a Comment

PASKAL: BUAT FILEM JADINYA DOKUMENTARI

PASKAL: BUAT CERITA JADI DOKUMENTARI Satu-satu masalah besar dalam penulisan atau melahirkan karya adalah menjadikan sebuah cerita itu...