Drama TV tanpa jiwa cerita, di mana silapnya?
Tengah makan nasi dengan kurma ayam terfikir pula kenapa
agaknya drama-drama yang kita saksikan di TV kurang bermaya atau tanpa jiwa.
Kadang-kadang dihabiskan masa dua jam menonton drama melayu dan rasa menyampah
pula kerana ruginya masa dua jam dihadapkan di depan tv. Kalau ikutkan hati,
teringin juga nak bersemangat dengan hero yang wataknya amat baik dan sentiasa
membantu orang. Ada kalanya sebelum menonton, teringin juga nak bersedih
sekejap dengan nasib menimpa watak utama atau orang yang disayanginya di dalam
drama yang ingin ditonton. Malangnya, cuma meluat dan menyampah saja yang
terasa. Keinginan cuma jadi kempunan sahaja.
Terfikir saya kenapa agaknya drama yang disiapkan tidak ada
roh dramanya. Tidak menyentuh perasaan! Kerap kali menghampakan.
Saya tulis renungan ini dengan menolak perkiraan stesyen
bayar cikai atau produser kaki penipu. Itu pun antara sebab juga tapi saya
menolak perkiraan ini dalam pertimbangan saya.
1. Emosi yang berulang
Drama kita tah apa yang difikir penulis selalu akan mengulang
emosi perwatakan meleret sedih atau meleret cemburu tanpa sedar orang dah
menyampah! Ubahlah sedih tu, ubah lah dengki tu!
Penulis tidak sedar orang dah cemuih dengan emosi yang
berulang dari satu babak ke satu babak.
Misalnya cerita aku nak kahwin pemuda hensem anak orang kaya
dan CEO syarikat. Maka akan berulanglah dialog dibawa mengenai keinginannya
untuk kahwin. Dengan kawan, dengan emak, dengan ayah, dengan musuh cinta dan
sebagainya. Dalam satu drama, tak ada benda lain dia nak sembang cuma pasal
keinginannya nak kahwin dengan CEO. Kalau dalam drama 90 minit, 30 minit saja
masa diuntukkan sipelakon mencurahkan keinginan cintanya dalam pelbagai dialog
dengan emosi yang serupa. Kononnya...
cara begitu lakonannya memberangsangkan. Maka egonya mungkin tinggi kot kerana
dirasanya itu lakonan bermutu tapi.. apa gunanya semua itu kalau drama itu
malap tanpa jiwa!
Sekala sekali sudahlah kalau nak kata teringin nak kahwin
sangat pun. Orang dah dengar! Malu lah sikit. Anak dara ni jarang sebut cek nak
kahwin sangat! Dah gatal dah ni! Sekali saja sebut dah ada orang dengar.
Ambillah 25 minit yang lain itu untuk kuatkan konflik dan perwatakan.
Biasanya penulis mempunyai format khas dalam pembentukan
mental penulisan mereka. Pertamanya sebut keluar kerisauan. Bila dah sebut
keluar tentu dah cukup kuat laungan. Orang tahu dia marah, atau dia sedih atau
dia berahi cinta sebagainya. Kedua, biar kawan baiknya pula mengulang benda
yang sama dengannya. Baru ada support. Ketiga, emak dan bapa pula kena lah sebut
benda yang sama, maka tentulah terasa kesedihannya, maklumlah sudah mak, bapa
dan kawan sendiri tahu. Ini format biasa. Masa banyak dihabiskan di sini.
Berulangkali berbual benda yang sama. Cerita tidak
berjalan.
(Emosi boleh berulang kalau ianya di dalam cerita komedi
tapi timing nya mestilah sempurna. )
2. Masa yang pendek untuk membina drama
90 minit drama atau 120 minit dalam sesetengah cerita
dirasakan tidak cukup untuk membentuk drama yang kuat. Bila menulis cerita,
tiba tiba sahaja rasa masa itu tidak cukup. Kenapa agaknya?
Jawapan pertama saya adalah penulis menulis mengikut
falsafah yang ingin disampaikan. Maklumlah dia penulis, banyak sangat falsafah
dan ilmu yang dipelajarinya. Maka dia ingin sampaikan terlalu banyak ilmu itu
sehingga, isi ceritanya kosong.
Kalau dia mahu berbual mengenai sembahyang tahajud sahaja,
maka mungkin 10 minit masa diambil untuk menceritakan kemanisannya. Malangnya
cerita mulut sahaja kemanisan tahajud itu tidak sama dengan kemanisan perasaan
penonton merasai apa itu yang didapati dari sembahyang tahajud. Maka ceramah
panjang saja, dapatnya kosong. Masa 10 minit diambil untuk berceramah mengenai
tahajud sahaja lari langsung dari perancangan cerita, maka masa yang
tertinggal, pendek jadinya. Itu baru satu filosofi yang mahu diketengahkan,
kalau ada 10, maka peninglah dibuatnya.
Lainlah kalau dia bersembahyang tengah malam, maka kita
tunjukkan pokok pokok pun bersujud bersamanya. Maka sedikit sebanyak dapatlah
penonton merasai magik-nya sembahyang tahajud. Tak perlu pun dia berceramah
mengenai bagusnya sembahyang tahajud. (contoh sahaja bukan elemen tahyul no...)
10 minit untuk satu falsafah...... tanya diri elok
disampaikan dalam bentuk ceramah dialog ke, atau disampaikan dalam bentuk
penghayatan cerita. Ambil perhatian... kita perlu cerita yang bergerak.
Jangan matikan pergerakan cerita dengan ceramah falsafah
yang ingin kita sampaikan. Pastikan
falsafah kita itu salah satu daripada kepentingan dalam bercerita... bukannya
syarahan kita!
Bukan hanya ketekunan menyampaikan falsafah saja boleh
memendekkan masa penceritaan, banyak lagi faktor lain. Contoh satu umpamanya
adalah contoh terbaik ruginya masa yang dimainkan. Apabila kita boleh memainkan
perasaan penonton, kita harus tumpukan kepada pergolakan dialog yang sama
antara watak berlainan saja. Membosankan!
Masa boleh menjadi pendek dan tidak sempat kita
mengendalikan drama kita kalau kita bercrita mengikut kronologi kejadian. Lepas
satu, satu jadi, lepas satu pula, satu yang lain, berturutan.
Mak ikut kronologi saja perjalanan cerita tanpa menampakkan
unsur dramatik di dalam drama, jadinya drama kita malap. Sibuk menyusun ikutan
kejadian saja.... ceritanya atau konfliknya tak ada.
Contohnya, balik rumah, telefon ayah nak balik. Kemudian
pandu kereta melepasi laluan bandar, kemudian kampung. Berbual dengan orang
sebelah nak balik kampung. Penting sangat nak balik. Nyatakan kerisauan sebab
nak balik kampung. Tunjuk pula ibu bapa di rumah, risaukan anak, tanya pula,
anak nak balik atau tidak. Kemudian, kereta masuk jalan kampung. Intercut, ayah
pula turun kerumah, pergi masjid. Anak sampai rumah. Kereta membrek. Keluar
kereta. Berjalan masuk ke rumah. Memberi salam. Ibu mnjawab. Terkejut anaknya
sampai di rumah.
Rimas sebenarnya saya menulis begini. Rasa bosan!
Ini dinamakan susunan kejadian mengikut ikutan masa.
Kronologi kejadian. Ini sesuatu yang membosankan kecuali dalam cerita thriller
atau seram.
Elaklah menulis benda begini.
Cara untuk elaknya agak komplek untuk difahami. Dalam
tulisan saya yang sebelum ada saya ceritakan dengan panjang lebar.
3. Tidak pandai menyusun plot dalam genre drama yang
dipilih.
Kita menulis mestilah mengikut genre yang kita pilih untuk
lakarkan penceritaan kita. Kalau kita anggap semua genre itu sama, maka kelam
kabutlah jadinya drama kita. Jadilah Roh A masuk dalam cerita B dan Roh C masuk
dalam cerita A dan bercelaru sana sini.
Perkembangan plot dan pembentukan perwatakan dalam
genre-genre drama yang dipilih adalah amat berbeza dari satu genre ke satu
genre.
Dalam komedi kita boleh masukkan sedikit unsur kronologi
atau pengulangan emosi. Contohnya Najib nak balik rumah kerana baru kona duit
dari pejabat. Terpaksa lari. Boleh tunjukkan apa jadi bila dia nak keluar
pejabatnya. Boleh pula kita lawakkan apabila dia ke kereta. Mungkin Mahathir
menunggu dengan polis. (tak ada kena mengena dengan hidup atau mati ni..
khayalan saja...) Terpaksa pula menumpang kereta Low yang begitu setia
menunggu, tambahan pula mereka boleh bincang perkara lain yang boleh mereka
kelentongkan. (sekali lagi tak ada kena mengena dengan yang hidup atau
mati).
Kalau format ini digunakan dalam melodrama, jadilah merepek.
Najib nak keluar pejabat kerana tipu orang. Kemudian dapati ramai orang
menunggu di luar pejabat. Pilih laluan lain untuk keluar. Kemudian nampak
mahathir menunggunya di keretanya. Susah jadinya. Kemudian tiba tiba Low sampai
membantunya, sembang pula pasal nak kona orang lain. Maka bersusunlah kronologi
kejadian.
Bosan jadinya.
Ia jadi tak kena kerana dalam melodrama kita nak mainkan
perasaan penonton. Dalam komedi, kita nak melucukan senario atau persekitaran.
Kita tidak boleh menimbulkan rasa dalam perspektif persekitaran sahaja. Rasa
harus dibina dengan membawa penonton untuk merasa.
Saya perhatikan apabila penulis yang berlatarbelakang
pelawak atau pelakon komedi menulis skripnya dalam genre lain akan menjadi
malar dan agak bosan.
Banyak lagi contoh tetapi genre yang berbeza memerlukan
penggunaan susunan plot yang berbeza.
Sebenarnya, seorang penulis seharusnya tahu genre mana
keahliannya dan tumpukan keahliannya dalam genre tersebut. Jangan terlalu
'tamak' dalam memilih 'genre'. Cukuplah kita berusaha sehingga menjadi pakar
dalam sesuatu bidang dan tumpukan dalam bidang tersebut.
4. Tidak memahami teknik bercerita
Roh cerita tidak masuk ke dalam cerita kerana sebenarnya
kita tidak tahu bercerita.
Macam mana pula penulis tidak tahu bercerita, macam mana dia
jadi penulis!
Penulis tahu lah serba sikit bercerita tetapi dia tidak
memahami rangka teknik penulisan. Kalau dia faham tentunya ceritanya akan
menjadi kemas dan cantik.
Apa dia rangka penulisan?
Ia adalah susunan plot mengikut urutan emosi.
Saya sering tonjolkan perkara ini. Ia adalah urutan kejadian
yang berlaku pada watak utama sehingga mendorong pembinaan rasa di dalam
cerita.
Para penulis biasa tidak memahami kepentingan rangka
penulisan ini. Mereka cuma menulis mengikut perasaan dan mengikut apa yang
datang dalam pemikiran mereka. Tanpa ada rangka yang harus diikuti.
Rangkanya
1. Pengenalan watak dengan menyimpulkan tajuk penceritaan.
2. Harpaan para watak
3. Harapan yang makin membara
4. Kegagalan pada harapan
5. Patah lagi pengharapan kepada yang lainnya
6. Langsung kekecewaan.
7. Sedikit kecerahan
8. Setback dalam kecerahan
9. lagi kehinaan
10. Jalan keluar yang menjadi.
11. Twist cerita.
Ini contoh cara kita membawa cerita. Banyak lagi cabang
lainnya tetapi cabang ini dikira popular dan selamat.
Dengan adanya rangka ini mudah untuk penulis memainkan
plotnya. Mudah pula dia memasukkan rasa di dalamnya. Sebenarnya terlalu banyak
cara nak memainkan unsur roh cerita dalam membentuk cerita mengikut rangka yang
telah kita tetapkan.
Apapun cara yang kita pilih seharusnya kita mempelajari
teknik jalngan sama sekali melengahkan perkembangan plot.
Mulakan cerita kita dengan kejadian amat penting dalam
penceritaan. Jangan membina cerita untuk dibawa kepada kejadian yang penting
itu. Selamatkan masa penulisan dengan meletakkan unsur yang paling penting
sekjali dihadapan dan kemudian ukirkan cerita disekelilingnya.