Tulis drama TV, siap macam dokumentari, dilema penulis terlalu terikat pengetahuan
Bagi seorang penulis drama yang didikasi, sudah menjadi
kebiasaan dia akan membuat kajian dengan mendalam perkara yang ingin
ditulisnya. Banyak masa akan dihabiskan (yang kadang kala terhad) untuk
meneliti proses dan prosedur yang menyentuh perkara tajuk. Apabila dirasanya
dia telah memahami keseluruhan proses sesuatu 'kerja' maka dia akan balik untuk
menulis dramanya. Kerap terjadi kerana keterlaluan sangat mahu memahami teknik
serta proses sesuatu usahanya, drama yang dibentuknya menjadi flat seakan-akan
sebuah dokumentari Melayu iaitu lebih banyak penerangan daripada menjadi sebuah
drama yang mamtap. Di mana silapnya?
Komitmen yang pertama dalam diri penulis apabila dia mahu
menulis sesuatu drama adalah menghadkan diri untuk menulis apa yang
diketahuinya sahaja. Ini pemikiran dan limitasi rangka otaknya. Tak boleh
menulis dalam sesuatu perkara, jangan tulis! Untuk memahami sesuatu perkara,
dia buat kajian yang boleh datang dalam berbagai bentuk. Dia boleh memilih
untuk mengkaji melalui melihat dokumentari-dokumentari TV atau drama-drama TV
yang bersangkutan atau membuat kajian secara khusus di 'lokasi' atau 'premis'
penceritaan yang mahu ditulisnya.
Saya suka melihat pada perkara-perkara kecil dalam sesuatu
misi penulisan. Misalnya melihat penjual ais kerim mengeluarkan kon ais kerim,
kemudian mencelupnya di air sejuk lalu mengambil air kerim skoop dan cara dia
meletakkan semula sudu skoopnya. Ianya satu proses pekerjaan. Fikiran saya akan
melayang untuk membentuk satu drama dalam pekerjaan. Misalnya kalau ada ikutan
proses, kling kling bunyi loceng, berhenti dan bertanyakan apa yang diinginkan,
brek basikalnya, membuka ais box, cara dia mengeluarkan skoop dan kemudiannya
proses menyediakan ais kerim skoop. Maka kalau saya mahu dramakan
1. Penjual ais kerim datang dan melalui prosedur di atas, ia
akan menjadi sebuah dokumentari.
2. Sentuh satu aspek kemanusiaan, ia akan jadi drama.
Contohnya dia sakit, sudah berhari demam tapi terpaksa juga menjual ais kerim
kerana upahnya ikut hari. Kebiasaannya laju sahaja dia membuat kerja tapi hari
itu, dia tidak sihat. Lantas kerja yang dilakukan nampak terketar dan perlahan.
Ada kala pula, peluh yang menitik pun berambu, tidak disedari. Kena pula, budak
yang meminta strawberi, diberinya coklat. Kita melihat dia cuba skoop ais
kerimnya sekali lagi agak teragak. Proses ini dinamakan mendramakan sesuatu
dokumentari. Iaitu dengan memasukkan elemen kemanusiaan di dalam penceritaan.
Apa yang harus dilakukan adalah menunjukkan babak kebiasaan terdahulu,
tunjukkan pula pengharapan pada babak lainnya dan akhirnya masukkan elemen mood
di dalam babak.
Mahu tersentuh lagi. Ada kanak-kanak yang luar biasa cute
nya, sentiasa sahaja diberi perhatian penjual ais kerim. Selalu pula bertanya,
pakcik sihat ke? Kemudian kita bina pengharapannya. Mungkin sikecil hendakkan
sesuatu tetapi benda itu terlarang kerana ada had untuk mendapatkan. Si penjual
ais kerim tahu itu kehendaknya, malangnya dia bukan berada. Hari yang
ditetapkan dalam pengharapan watak, si penjual pula tidak sihat atau ada
halangan lain. Terbina elemen tertanya, mampu kah dia dapat apa dikehendaki?
Jadi setiap langkah atau proses menjual ais kerim menjadi gerak pendramaan yang
menimbulkan rasa. Setiap kayuhan penjual akan membuat penonton terasa keinginan
dan kehendaknya.
Apa yang penting adalah memainkan perasaan penonton melalui
proses yang kita perhatikan dari kajian kita. Biar penonton tahu apa yang
diharapkan. Penonton tahu kesusahan untuk mendapatkan. Tahu pula kemungkinan
ianya tidak tercapai. Kemudian kita masukkan unsur magik, ia boleh
diselesaikan, maka ia menjadi drama yang baik.
Itu contoh yang mudah, penjual ais kerim. Pokoknya kita
sudah meneliti pekerjaan seorang penjual ais kerim dan memahami proses dia
melakukan kerja.
Kalau kita mahu komedikannya kita boleh fikir cara
melawakkan suasana melalui kefahaman kita mengenai penjual ais kerim dan
kerjanya. Contohnya, kita tahu penjual ais kerim memerlukan skoop, tanpa skoop
habislah kerjanya. Isu kerja tak jadi boleh dikomedikan mengikut dedahan mana
yang kita mahukan, slapstik atau komedi persekitaran. Apa yang penting adalah
kita mendapat ilham dari proses tata kerja seorang penjual ais kerim. Kalau
kita faham prosesnya, maka kita mudah membentuk sudut pendramaannya.
Mahu menulis dengan baik, maka fahami sesuatu proses
'pekerjaan' terlebih dahulu. Tengok kepada aspek benda benda kecil dalam
pekerjaan dan letakkan sikit unsur kemanusiaan dalam rutin kerjanya.
Kerja penulis adalah meneliti sesuatu kerja dan mencari
sudut untuk mendramakannya. Aspek paling penting adalah penonton. Kita buat
drama bukan untuk syok sendiri atau untuk seronokkan pelakon berlakon. Kita nak
penonton memahami apa yang kita tulis. Lebih seronok lagi, kita nak mereka rasa
apa yang kita tulis.
Penulis biasa akan merumuskan sesuatu aspek 'kerja'nya tanpa
meneliti aspek kecil dalam meneliti karektornya. Ini berlaku kerana dia tidak
berpengetahuan dalam aspek perwatakan yang ditulisnya. Tidak tahu kerja sebagai
reporter macam mana nak fahami aspek kecil yang boleh mencantikkan drama
sebagai reporter.
Penulis biasa akan membuat babak-babak general untuk
mendramakan cerita mereka tetapi penulis yang baik dapat menggunakan
aspek-aspek detail atau halus dalam sesuatu perwatakan kerana dia mengkaji
dedahan perwatakannya.
Kita ambil contoh lakonan Robert Redford sebagai seorang
general dalam The Last Castle. Cerita lama yang sangat baik kalau kita mahu menilai
aspek melakukan kajian dan aspek memasukki detail pengkajian dalam bentuk
drama. Begitu cantik dedahan Redford dalam menghayati watak seorang general
yang dihukum penjara kerana kecuaian. Kita lihat bagaimana prosedur seorang
tentera diikuti dan bagaimana Redford begitu berjaya memainkan unsur unsur halus
dalam pekerjaan seorang general dalam karektornya. Bagaimana membentukkan rasa
dalam rutin harian seorang tentera. Tengok drama ini dan kita akan faham
tekniknya.
Begitu juga dalam Titanic, pengkajian dilakukan terdahulu
bagaimana keadaanya Titanic dan kemudiannya mengambil elemen kecil dan detail
untuk mendramakan. Contohnya, ada bahagian dikhaskan untuk orang yang susah dan
bahagian untuk orang yang kaya. Premis digunakan dengan memasukkan unsur rasa
dalam pendramaan. Lahirnya babak-babak bagaimana orang susah menghabiskan
masanya. Bagaimana pula mereka yang kaya menghabiskan masa mereka di atas
Titanic. Tanpa kajian mengenai premis, macam mana kita nak bentukkan elemen
rasa dalam penceritaan.
Filem The Natural, juga lakonan Robert Redford adalah satu
lagi dedahan di mana pelakonnya memahami proses atau rutin harian seorang
pemain bola lisut. Ceritanya amat cantik di mana seorang lelaki yang sudah
melewati jangkauan usia untuk menjadi seorang pemain bola lisut profesional
menceburi bidang tersebut kerana bakat semulajadinya di usia tuanya. Kalau mahu
mengkaji aspek membuat kajian mengenai sesuatu bidang dan memasukkan elemen
rasa di dalam pendramaan maka tiga buah cerita ini adalah cerita-cerita yang
baik untuk ditonton.
Drama kita pula... hmmm.... kalau reporter asyik bercinta
saja. Kalau yang kerja kilang pun asyik bercinta juga dan fikir bagaimana nak
kahwin si dia. Kalau general pun asyik cinta juga. Reporter, kerja kilang dan
seorang general tentera sama saja. Cara dialog disampaikan pun sama juga.
Penulis kita tidak memahami 'kerja' watak untuk mencantikkan perwatakan. Kalau
tahu, kita boleh menulis mengenai kesungguhan seorang general berdiri di tengah
panas selama dua hari lamanya untuk menyatakan protesnya. Ia melanggar
kebiasaan tetapi apabila dihayati wataknya, melanggar kebiasaan dalam diri
tentera adalah sesuatu yang mengharukan.
Selalu saya ketengahkan bahawa 4 elemen penting harus
diwujudkan untuk menimbulkan rasa dalam pendramaan. Unsur hiburan, romance,
pengembaraan dan magik. Keempat elemen ini amat penting untuk mencantikkan
drama dan memainkan unsur rasa. Unsur hiburan khususnya watak comical (lawak)
atau muzik dalam bentuk montaj (montaj biasa atau montaj dramatik) adalah untuk
penonton merehatkan rasa dan minda. Unsur romance atau percintaan adalah untuk
memainkan perasaan penonton menghayati permasalahan watak. Kita memberi sedikit
harapan dan ruang untuk berfikir kepada penonton. Unsur pengembaraan adalah
rangka plot yang bergerak untuk memberi keseronokan kepada penonton menghayati
penceritaan. Cerita mesti bergerak, daripada tidak kenal, pergi ke kenal, pergi
kepada bermusuhan, pergi kepada halangan luar, timbulkan sedikit harapan
melalui jalan keluar yang rumit, dan sebagainya. Unsur akhir adalah memasukkan
elemen magik dalam penyelesaian. Kadang kala benda yang tidak disangka berlaku.
Ini memberi harapan dan keseronokan kepada penonton.
Masukkan unsur unsur ini dalam aspek perwatakan dengan
menghayati 'rutin kerja' watak. Cari elemen halus dalam rutin kerja. Menulislah
dengan pintar iaitu dengan meletakkan penonton di hadapan kita dan fikirkan
cara bagaimana mahu memainkan perasaan penonton.
No comments:
Post a Comment