Thursday, September 27, 2018

PASKAL: BUAT FILEM JADINYA DOKUMENTARI


PASKAL: BUAT CERITA JADI DOKUMENTARI

Satu-satu masalah besar dalam penulisan atau melahirkan karya adalah menjadikan sebuah cerita itu mengikut genre yang mahu diusahakan. Sekaligus menarik peminat dari genre yang dipilih menghayati cerita yang dipersembahkan. Gagal memahami genre dan diserabutkan dengan pelbagai informasi serta aspek-aspek teknikal sesuatu kajian yang dilakukan penulis akan menghancurkan cerita yang dibawa.  

Paskal yang ditayangkan di panggung wayang ketika ini adalah contoh terbaik cerita yang gagal memahami genre yang ingin dibawa. Ianya adalah sebuah cerita yang keliru di antara mahu menunjukkan sangat apa yang diusahakan pasukan komondo tentera laut dengan segala Standard Operating Procedurenya (SOP) dan dicaca marba dengan unsur drama dan kemudiannya cuba memasukkan unsur aksinya dalam keadaan cerita yang sudah menjadi dokumentari. Ia jadi sebuah doku-drama murahan seperti yang ditunjukkan dalam Nat Geo atau History Channel.

Menonton Paskal bagi saya amat membosankan. Ia bagai menonton cerita Prebet Badul di tahun 80-an. Formula yang digunakan adalah sama. Permulaan masalah dengan apa yang berlaku di Somalia apabila sebuah kapal yang diiringi pasukan paskal telah diserang lanun. Kemudian ia bergerak kepada latihan menjadi anggota Paskal yang baik. Latihan yang lasak. Akhirnya usaha untuk mematikan satu sindiket besar dari Filipina yang berani menyerang platform minyak negara. Ianya semata-mata menunjukkan satu SOP apa yang dilakukan tentera negara kita dalam menghadapi apa sahaja permasalahan.

Macam tengok cerita bomba padam api kebakaran. Mereka nak berbual mengenai tatacara mengikut prosedur yang betul. Kena padam api mengikut formula itu ini. Bila masuk menyelamatkan orang pula kena ikut cara-cara begini atau begitu. Ianya bosan untuk ditonton di panggung wayang. Tengok Nat Geo oklah!

Nak memahami cerita bomba yang lari dari jadi Nat Geo doku-drama atau Discovery, tengoklah Backdraft yang diterbitkan oleh Ron Howard. Tengoklah bagaimana permasalahan cerita itu hanya ditelitikan kepada dua watak utamanya dengan baik tanpa mahu membawa sebarang unsur dokumentari dalam drama. Ia menjadi sebuah cerita aksi kemalangan yang baik.

Bila agaknya cerita kita jadi dokumentari?

Jawapannya bila ia adalah Paskal!

Penulis membuat kajian yang mendalam mengenai unit Paskal kemudian mereka kehilangan arah untuk membentuk sebuah cerita. Cerita dibentuk bila mahu dimasukkan dalam segala SOP atau tatacara kelakuan kerja sebagai seorang anggota Paskal. Kalau diserang lanun apa nk buat? Kalau dalam operasi pengintipan apa yang akan dilakukan. Cerita atau perwatakan dimasukkan dalam segmen dokumentasinya.

Bila kita memulakan cerita dengan memikirkan soal tatakerjanya, ia akan membosankan dan tidak akan memuncak konflik atau elemen penceritaannya. Kita sepatutnya memikirkan soal cerita dulu kemudian barulah SOPnya. Bukan sebaliknya. Cerita Police Story Jackie Chan umpamanya. Cerita polis yang tentunya ada berbagai SOP. Mana ada Jackie Chan pakai SOP polisnya. Dia mahu melahirkan drama aksi jadi tumpuannya hanya terfokus kepada menimbulkan aksi yang menarik. Dia memikirkan soal kemalangan, permasalah yang mungkn dihadapi kalau orang ramai cedera. Bagaimana kalau orang jahat terlepas? Ditambah dengan pelbagai aksi pelik pakour Jackie Chan, cerita polisnya jadi menarik. Masuklah sikit bosnya marah dia tak ikut SOP.

Cerit Paskal terbalik. Ianya memang nak tunjuk apa yang tentera laut lakukan bila berlaku sesuatu kejadian. Jadi dimasukkan segala unsur mengarut pegawai besar berbual dengan menteri, apa yang berlaku di bilik kawalan. Bila nak guna kapal selam negara. Bila nak terjun dari kapalterbang untuk mengejar sasaran. Watak-watak dan permasalahan dimasukkan dalam segala SOP ini. Ianya bosan!

Samalah, dalam latihan menjadi anggota Paskal, apa yang hendak ditunjukkan. Lalu didramatikkan sikit tetapi usaha utamanya hanyalah nak tunjuk apa yang dilakukan dalam latihan sebagai anggota Paskal. Sekali lagi ianya bosan. Kalau saya nak tengok dokumentari Paskal mungkinlah menarik. Saya sebenarnya nak tengok cerita mengenai kecekalan pasukan tentera menjaga negara.  

Namun begitu, mungkinlah saya tersilap besar bila beli tiket. Nama cerita pun PASKAL. Tentulah nak megahkan Paskal saja dalam ceritanya. Mungkin juga ianya hanya sekadar dokumentari biasa sahaja. Ia tidak cuba untuk menjadi sebuah filem aksi. Cuma doku-drama mengenai unit Paskal sahaja. Masuklah cerita anggota tentera mati, isterinya dikahwini kawan baiknya. Platform minyak kena serang. Anggota Paskal kena buang kerana langgar peraturan.

Cerita mengenai latihan tentera dan bagaimana membentuk tentera sesebuah unti ini terlalu banyak di muka bumi ini. Nak cerita Korea ke, nak cerita Cina ke, India ke, Hollywood ke, banyak sangat. Tak larat kot nak tengok. Corak berceritanya sama sahaja. Jarang sekali nak keluar cerita yang bermutu mengenai tentera dan tugasnya kecualilah Star Wars. Hahahhaha.. jauh sangat saya perginya. Ya, Star Wars adalah drama peperangan. Drama tentera.  Ia drama yang baik kerana ia menumpukan kepada beberapa watak dengan baik. Heronya mesti nak belajar jadi Jedi yang baik. Hero keduanya akan berhadapan masalah disiplin untuk menjadi pemimpin tentera yang disegani. Ia tak sembang soal SOP ketenteraan sangat. Ia berbual soal perwatakan. Jadi kita suka menontonnya kerana ianya lebih mendekati kita sebagai manusia. Bukannya mendekati kita sebagai tentera. Nak buat apa, kita bukan faham atau syok sangat nak jadi tentera pun!

Dulu kala ada cerita mengenai Dirty Dozen. Cerita pasal beberapa orang pesalah tentera dikumpulkan untuk missi paling hebat dalam tentera. Mereka semuanya dalam senarai death row (hukuman mati). Penjahat tegar. Maka popularlah Telly Savalas dan Charles Bronson.  

Roger Moore keluar untuk berlakon dalam filem SEAL. Roger Moore ini adalah James Bond paling popular selepas Sean Connery. Dia membawa unsur kelakar dalam watak James Bond. Saya kira, orang yang paling pakar membawa watak sinis seorang pelakon adalah Roger Moore. Memang handal gila. Filem ini adalah mengenai anggota unit Seal dan permasalahan mereka. Ia bagaimanapun ditumpukn kepada watak utamanya membentuk sepasukan unit komondo tentera laut yang baik. Ia berkisar kepada melahirkan konflik dan cerita dan bukannya untuk menunjukkan operasi ketenteraan. Ia jadi drama yang baik.  

A Brigde Too Far, Midway, Tora-Tira dan banyak lagi cerita tentera adalah cerita yang baik-baik belaka. Tengoklah balik. Ianya kalau pun ada SOP tentera, ia mempersoalkan tentang keperwiraan dan sifat kemanusiaan. Ia berkisar kepada pengorbanan watak-watak.

Bagaimana penulis berfikir bila nak buat cerita tentera? Harus kah dia mengambil SOP ketentera dn berfikir untuk menggunakan SOP tenera dimasukkan ke dalam cerita? Atau.. dia harus memikirkan konflik atau bahan penceritaan, memperkuatkan perwatakan dan menyelesaikan permasalahan lalu dimasukkan mana-mana SOP tentera yang perlu. Perlu masuk semuanya ke, atau masuk sikit sahaja? Mana jawapan yang sesuai?

Jawapannya, terletak pada penonton yang mahu kita temui. Siapa target penonton kita?
Fahami penonton kita dan apa yang mereka harapkan barulah kita buat filem! Jangan buat cerita ikut apa yang kita kaji. Ia mungkin akan jadi dokumentari yang kadang kalanya bosan gila! Atau bahan syok sendiri sahaja. Kaji apa yang mahu melekat pada hati penonton.

Apa di sebalik kejayaan Munafik 2 dan Hantu Kak Limah? Adakah pasal Mamat Khalid dan Yusuf Haslam? Atau adakah kerana penonton kita gilakan cerita hantu? Mana satu jawapannya. Tentulah terletak kepada penonton. Kedua-dua cerita berjaya bermain dengan penerimaan penonton. Tidak bermegah dengan kemampuan pengkajian tetapi ianya menyentuh soal tanggapan penonton.

Paskal hanya dilahirkan kerana kajian yang mendalam. Ia lebih mahu menonjolkan kemampuan penulis dan pengarahnya menghadirkan ciri-ciri keupayaan ketenteraan dalam menghadapi sebarang siatuasi. Ia jadi cerita yang pada saya sangat bosan. Saya tersenguk banyak kali sangat dalam cerita ini.  Cerita yang tidak berkesan, pencahayaannya membuat kita mengantuk dan elemen dramanya hampir tidak kuat langsung. Saya hampir pasti tidak ada kekuatan drama langsung dalam cerita Paskal. Ianya cerita tentera macho saja.  






  

Saturday, January 28, 2017

Menulis Cerita Luar Biasa

Biarlah Cerita Anda Luar Biasa.

Kesilapan umum apabila memilih bentuk cerita untuk diusulkan ke pihak TV adalah mencari cerita benar yang berlaku di sekeliling penulis. Kisah benar yang kebiasaannya tidak ada luar biasanya. Contohnya, seorang penulis akan begitu teruja untuk menulis mengenai kisah seorang guru yang mengajar di perkampungan orang asli. Permasalahannya dan turun naik hidupnya akan diceritakan.

Ceritanya cerita biasa tanpa ada sebarang naik turun susunan plotnya. Kalau ada pun ianya berkisar kepada kehidupannya bersama orang asli.

Sebenarnya cerita cikgu mengajar anak orang asli ini tidak ada kelebihannya kalau hendak di siarkan di kaca TV. Biarpun guru terpaksa naik bot di awal pagi, seawal pukul 6 pagi lagi untuk sampai ke tempat dia mengajar. Yang diajar pun cuma lima orang sahaja. Ia masih belum cukup kuat. Kita dengar sahaja ceritanya, ianya sudah cukup menawan hati untuk menulis tetapi ianya belum cukup untuk ditayangkan di kaca TV.

Apa yang membolehkan cerita seorang guru mengajar anak orang asli menjadi cerita yang boleh disiarkan di kaca TV?

Kriteria utama adalah ianya mestilah cerita yang luar biasa. Apa yang dimaksudkan dengan luar biasa?

1. Luar Biasa Perwatakan
Memberi kelebihan kepada watak utama sangat penting dalam membentuk cerita yang boleh ditayangkan di kaca TV. Misalnya kita memilih watak utama adalah kanak-kanak orang asli yang mempunyai kelebihan. Seorang genius yang sudah lanjut usianya. Umur 20 tahun baru diketahui dia seorang genius tetapi masih bermalasan di hutan. Jadi kita boleh hadirkan kisah cikgu begitu gigih mahu mengajarnya supaya potensi sebenarnya dapat dimanfaatkan. Ini satu cerita yang luar biasa. Di samping anak-anak murid biasanya, penulis boleh bermain dengan pelbagai perwatakan yang kita mahu warnakan dengan orang asli genius ini.

Di samping memberi kelebihan kepada anak murid, kita juga boleh memberi kelebihan kepada guru sebagai watak yang luar biasa. Contohnya, dia seorang pelari kebangsaan yang cedera dan tidak lagi boleh berlari. Atau mungkin seorang pemain basketball. Watak utama ini memilih untuk menjadi guru. Untuk mengajar kerana dia tidak mampu menjadi ahli sukan yang terbaik.  Sikapnya mungkin tidak lagi mahu ambil peduli kepada muridnya kerana kecederaannya. Lama kelamaan, dia akan mengubah corak pemikiran dan komitmennya kerana anak-anak muridnya perlukan bantuannya. Ini cerita yang agak luar biasa.

Kita juga boleh menjadikan watak utama seorang guru berbangsa asing. Mat Salleh pun boleh atau Bangla pun boleh. Asalkan dia bangsa asing dan mahu mengajar orang asli ianya boleh menjadi sebuah cerita yang menarik dan boleh dijual. Orang Malaysia sangat sukakan cerita mengenai orang asing. Yang memilih jodoh dengan Mat Salleh dan Bangla pun banyak di Malaysia.

Watak utama seorang wanita bukannya kelebihan. Watak utama seorang wanita yang hebat adalah kelebihan. Contohnya, dia pakar dalam seni mempertahankan diri atau juara MMA. Maka kalau dia memilih untuk mengajar orang asli tentunya kita boleh bermain dengan unsur-unsur fisikal untuk memenangi hati anak muridnya.

Boleh juga kita memilih untuk menjadikan watak utama seorang perempuan yang penakut tetapi mendewasakan dirinya ketika mengajar anak-anak orang asli. Takutnya dia boleh dikaitkan dengan sesuatu kejadian misteri dan tragik di masa silamnya. Misteri yang dikaitkan akan diselesaikan ketika bersama orang asli nanti.

Hollywood zaman dulunya telah pun memberikan formula memilih cerita ini. Kita lihat MacGyver dengan kemampuannya sebagai seorang pakar menggunakan 'tape' dan pisau lipat. Kita juga lihat kepakaran Starky And Hutch sebagai penyiasat. Kemudian Steve Austin dalam Six Million Dollar Man seorang manusia separuh bionic. Siri terbaru misalnya Mentalist menampakkan watak Patrick Jane sebagai seorang genius dalam menyelesaikan sesuatu pembunuhan. Hollywood memberikan kelebihan atau sifat luar biasa pada watak utamanya. Saya boleh guarantee kalau cerita biasa, mengenai kehidupan seharian manusia biasa, ia bukan sebuah cerita yang boleh dijadikan siri.

Cerita hindustan pun memberi kekuatan dan kebolehan luar biasa kepada watak utamanya. Ambillah apa sahaja lakonan Amir Khan atau Shahruk Khan, tentunya mereka mempunyai kelebihan luar biasa. Kalau bodoh pun, seperti cerita Three Idiots, bodoh mereka pun terserlah jadinya.

Tengoklah cerita Cina, Korea atau apa sekalipun, cerita yang keluar TV bukan cerita biasa kehero-an.

Kat Malaysia? Di Malaysia kita memilih untuk bercerita mengenai orang biasa. Jadinya cerita kita ni mati tanpa ada kelebihan.


2. Luar Biasa Persekitaran 
Kalau hero bukannya manusia luar biasa, kita boleh luar biasakan persekitaran. Contohnya, harta karun, rumah berhantu, lukisan berharga atau untuk certa orang asli tadinya, kita boleh buat cerita orang asli yang tinggal di atas rumah rakit.

Luar biasa persekitaran boleh menjadikan karya kita ini karya seni yang tinggi nilainya. Zaman dulu kala, Knight Rider adalah di antara cerita orang putih yang mempertengahkan luar biasanya persekitaran. Kereta yang dinamakan Kit adalah kereta sepenuh berkomputer dan boleh berfikir dengan sendiri. Zaman 80-an, teknologi komputer belum mencapai tahap tertingginya, apabila cerita yang keluar dari kebiasaan manusia mampu berfikir, ia menjadi cerita yang paling popular.

Penulis dan pengarah kita masih menggunakan teknik pendramaan 90-an untuk karya mereka. Dalam drama kita jarang menunjukkan penggunaan gajet terkini. Jarang pula mahu melangkah setapak lagi untuk barangan luar biasa yang dapat difikirkan penulis. Kalau dapat difikirkan penulis-penulis pun, produksi kita mungkin tidak mampu untuk membuat drama hi-tech atau drama gajet terbaru. Semua infra struktur yang wujud di negara kita juga tidak menyokong perkembangan drama atau dokumentari tempatan.

Malangnya industri seni visual kita.




Thursday, December 22, 2016

DRAMA TV TANPA JIWA: DI MANA SILAPNYA



Drama TV tanpa jiwa cerita, di mana silapnya?

Tengah makan nasi dengan kurma ayam terfikir pula kenapa agaknya drama-drama yang kita saksikan di TV kurang bermaya atau tanpa jiwa. Kadang-kadang dihabiskan masa dua jam menonton drama melayu dan rasa menyampah pula kerana ruginya masa dua jam dihadapkan di depan tv. Kalau ikutkan hati, teringin juga nak bersemangat dengan hero yang wataknya amat baik dan sentiasa membantu orang. Ada kalanya sebelum menonton, teringin juga nak bersedih sekejap dengan nasib menimpa watak utama atau orang yang disayanginya di dalam drama yang ingin ditonton. Malangnya, cuma meluat dan menyampah saja yang terasa. Keinginan cuma jadi kempunan sahaja.

Terfikir saya kenapa agaknya drama yang disiapkan tidak ada roh dramanya. Tidak menyentuh perasaan! Kerap kali menghampakan.

Saya tulis renungan ini dengan menolak perkiraan stesyen bayar cikai atau produser kaki penipu. Itu pun antara sebab juga tapi saya menolak perkiraan ini dalam pertimbangan saya.

1. Emosi yang berulang
Drama kita tah apa yang difikir penulis selalu akan mengulang emosi perwatakan meleret sedih atau meleret cemburu tanpa sedar orang dah menyampah! Ubahlah sedih tu, ubah lah dengki tu!

Penulis tidak sedar orang dah cemuih dengan emosi yang berulang dari satu babak ke satu babak.

Misalnya cerita aku nak kahwin pemuda hensem anak orang kaya dan CEO syarikat. Maka akan berulanglah dialog dibawa mengenai keinginannya untuk kahwin. Dengan kawan, dengan emak, dengan ayah, dengan musuh cinta dan sebagainya. Dalam satu drama, tak ada benda lain dia nak sembang cuma pasal keinginannya nak kahwin dengan CEO. Kalau dalam drama 90 minit, 30 minit saja masa diuntukkan sipelakon mencurahkan keinginan cintanya dalam pelbagai dialog dengan emosi yang serupa.  Kononnya... cara begitu lakonannya memberangsangkan. Maka egonya mungkin tinggi kot kerana dirasanya itu lakonan bermutu tapi.. apa gunanya semua itu kalau drama itu malap tanpa jiwa!

Sekala sekali sudahlah kalau nak kata teringin nak kahwin sangat pun. Orang dah dengar! Malu lah sikit. Anak dara ni jarang sebut cek nak kahwin sangat! Dah gatal dah ni! Sekali saja sebut dah ada orang dengar. Ambillah 25 minit yang lain itu untuk kuatkan konflik dan perwatakan.

Biasanya penulis mempunyai format khas dalam pembentukan mental penulisan mereka. Pertamanya sebut keluar kerisauan. Bila dah sebut keluar tentu dah cukup kuat laungan. Orang tahu dia marah, atau dia sedih atau dia berahi cinta sebagainya. Kedua, biar kawan baiknya pula mengulang benda yang sama dengannya. Baru ada support. Ketiga, emak dan bapa pula kena lah sebut benda yang sama, maka tentulah terasa kesedihannya, maklumlah sudah mak, bapa dan kawan sendiri tahu. Ini format biasa. Masa banyak dihabiskan di sini.

Berulangkali berbual benda yang sama. Cerita tidak berjalan.  

(Emosi boleh berulang kalau ianya di dalam cerita komedi tapi timing nya mestilah sempurna. )

2. Masa yang pendek untuk membina drama
90 minit drama atau 120 minit dalam sesetengah cerita dirasakan tidak cukup untuk membentuk drama yang kuat. Bila menulis cerita, tiba tiba sahaja rasa masa itu tidak cukup. Kenapa agaknya?

Jawapan pertama saya adalah penulis menulis mengikut falsafah yang ingin disampaikan. Maklumlah dia penulis, banyak sangat falsafah dan ilmu yang dipelajarinya. Maka dia ingin sampaikan terlalu banyak ilmu itu sehingga, isi ceritanya kosong.

Kalau dia mahu berbual mengenai sembahyang tahajud sahaja, maka mungkin 10 minit masa diambil untuk menceritakan kemanisannya. Malangnya cerita mulut sahaja kemanisan tahajud itu tidak sama dengan kemanisan perasaan penonton merasai apa itu yang didapati dari sembahyang tahajud. Maka ceramah panjang saja, dapatnya kosong. Masa 10 minit diambil untuk berceramah mengenai tahajud sahaja lari langsung dari perancangan cerita, maka masa yang tertinggal, pendek jadinya. Itu baru satu filosofi yang mahu diketengahkan, kalau ada 10, maka peninglah dibuatnya.

Lainlah kalau dia bersembahyang tengah malam, maka kita tunjukkan pokok pokok pun bersujud bersamanya. Maka sedikit sebanyak dapatlah penonton merasai magik-nya sembahyang tahajud. Tak perlu pun dia berceramah mengenai bagusnya sembahyang tahajud. (contoh sahaja bukan elemen tahyul no...)  

10 minit untuk satu falsafah...... tanya diri elok disampaikan dalam bentuk ceramah dialog ke, atau disampaikan dalam bentuk penghayatan cerita. Ambil perhatian... kita perlu cerita yang bergerak.

Jangan matikan pergerakan cerita dengan ceramah falsafah yang ingin kita sampaikan.  Pastikan falsafah kita itu salah satu daripada kepentingan dalam bercerita... bukannya syarahan kita!

Bukan hanya ketekunan menyampaikan falsafah saja boleh memendekkan masa penceritaan, banyak lagi faktor lain. Contoh satu umpamanya adalah contoh terbaik ruginya masa yang dimainkan. Apabila kita boleh memainkan perasaan penonton, kita harus tumpukan kepada pergolakan dialog yang sama antara watak berlainan saja. Membosankan!

Masa boleh menjadi pendek dan tidak sempat kita mengendalikan drama kita kalau kita bercrita mengikut kronologi kejadian. Lepas satu, satu jadi, lepas satu pula, satu yang lain, berturutan.
Mak ikut kronologi saja perjalanan cerita tanpa menampakkan unsur dramatik di dalam drama, jadinya drama kita malap. Sibuk menyusun ikutan kejadian saja.... ceritanya atau konfliknya tak ada.

Contohnya, balik rumah, telefon ayah nak balik. Kemudian pandu kereta melepasi laluan bandar, kemudian kampung. Berbual dengan orang sebelah nak balik kampung. Penting sangat nak balik. Nyatakan kerisauan sebab nak balik kampung. Tunjuk pula ibu bapa di rumah, risaukan anak, tanya pula, anak nak balik atau tidak. Kemudian, kereta masuk jalan kampung. Intercut, ayah pula turun kerumah, pergi masjid. Anak sampai rumah. Kereta membrek. Keluar kereta. Berjalan masuk ke rumah. Memberi salam. Ibu mnjawab. Terkejut anaknya sampai di rumah.

Rimas sebenarnya saya menulis begini. Rasa bosan!

Ini dinamakan susunan kejadian mengikut ikutan masa. Kronologi kejadian. Ini sesuatu yang membosankan kecuali dalam cerita thriller atau seram.

Elaklah menulis benda begini.

Cara untuk elaknya agak komplek untuk difahami. Dalam tulisan saya yang sebelum ada saya ceritakan dengan panjang lebar.

3. Tidak pandai menyusun plot dalam genre drama yang dipilih.
Kita menulis mestilah mengikut genre yang kita pilih untuk lakarkan penceritaan kita. Kalau kita anggap semua genre itu sama, maka kelam kabutlah jadinya drama kita. Jadilah Roh A masuk dalam cerita B dan Roh C masuk dalam cerita A dan bercelaru sana sini.

Perkembangan plot dan pembentukan perwatakan dalam genre-genre drama yang dipilih adalah amat berbeza dari satu genre ke satu genre.

Dalam komedi kita boleh masukkan sedikit unsur kronologi atau pengulangan emosi. Contohnya Najib nak balik rumah kerana baru kona duit dari pejabat. Terpaksa lari. Boleh tunjukkan apa jadi bila dia nak keluar pejabatnya. Boleh pula kita lawakkan apabila dia ke kereta. Mungkin Mahathir menunggu dengan polis. (tak ada kena mengena dengan hidup atau mati ni.. khayalan saja...) Terpaksa pula menumpang kereta Low yang begitu setia menunggu, tambahan pula mereka boleh bincang perkara lain yang boleh mereka kelentongkan. (sekali lagi tak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati). 

Kalau format ini digunakan dalam melodrama, jadilah merepek. Najib nak keluar pejabat kerana tipu orang. Kemudian dapati ramai orang menunggu di luar pejabat. Pilih laluan lain untuk keluar. Kemudian nampak mahathir menunggunya di keretanya. Susah jadinya. Kemudian tiba tiba Low sampai membantunya, sembang pula pasal nak kona orang lain. Maka bersusunlah kronologi kejadian.

Bosan jadinya.

Ia jadi tak kena kerana dalam melodrama kita nak mainkan perasaan penonton. Dalam komedi, kita nak melucukan senario atau persekitaran. Kita tidak boleh menimbulkan rasa dalam perspektif persekitaran sahaja. Rasa harus dibina dengan membawa penonton untuk merasa.

Saya perhatikan apabila penulis yang berlatarbelakang pelawak atau pelakon komedi menulis skripnya dalam genre lain akan menjadi malar dan agak bosan.

Banyak lagi contoh tetapi genre yang berbeza memerlukan penggunaan susunan plot yang berbeza.

Sebenarnya, seorang penulis seharusnya tahu genre mana keahliannya dan tumpukan keahliannya dalam genre tersebut. Jangan terlalu 'tamak' dalam memilih 'genre'. Cukuplah kita berusaha sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang dan tumpukan dalam bidang tersebut.

4. Tidak memahami teknik bercerita
Roh cerita tidak masuk ke dalam cerita kerana sebenarnya kita tidak tahu bercerita.

Macam mana pula penulis tidak tahu bercerita, macam mana dia jadi penulis!

Penulis tahu lah serba sikit bercerita tetapi dia tidak memahami rangka teknik penulisan. Kalau dia faham tentunya ceritanya akan menjadi kemas dan cantik.

Apa dia rangka penulisan?

Ia adalah susunan plot mengikut urutan emosi.

Saya sering tonjolkan perkara ini. Ia adalah urutan kejadian yang berlaku pada watak utama sehingga mendorong pembinaan rasa di dalam cerita.

Para penulis biasa tidak memahami kepentingan rangka penulisan ini. Mereka cuma menulis mengikut perasaan dan mengikut apa yang datang dalam pemikiran mereka. Tanpa ada rangka yang harus diikuti.

Rangkanya
1. Pengenalan watak dengan menyimpulkan tajuk penceritaan.
2. Harpaan para watak
3. Harapan yang makin membara
4. Kegagalan pada harapan
5. Patah lagi pengharapan kepada yang lainnya
6. Langsung kekecewaan.
7. Sedikit kecerahan
8. Setback dalam kecerahan
9. lagi kehinaan
10. Jalan keluar yang menjadi.
11. Twist cerita.

Ini contoh cara kita membawa cerita. Banyak lagi cabang lainnya tetapi cabang ini dikira popular dan selamat.

Dengan adanya rangka ini mudah untuk penulis memainkan plotnya. Mudah pula dia memasukkan rasa di dalamnya. Sebenarnya terlalu banyak cara nak memainkan unsur roh cerita dalam membentuk cerita mengikut rangka yang telah kita tetapkan.

Apapun cara yang kita pilih seharusnya kita mempelajari teknik jalngan sama sekali melengahkan perkembangan plot.

Mulakan cerita kita dengan kejadian amat penting dalam penceritaan. Jangan membina cerita untuk dibawa kepada kejadian yang penting itu. Selamatkan masa penulisan dengan meletakkan unsur yang paling penting sekjali dihadapan dan kemudian ukirkan cerita disekelilingnya.

DRAMA BERTUKAR DOKUMENTARI: DI MANA SILAPNYA



Tulis drama TV, siap macam dokumentari, dilema penulis terlalu terikat pengetahuan


Bagi seorang penulis drama yang didikasi, sudah menjadi kebiasaan dia akan membuat kajian dengan mendalam perkara yang ingin ditulisnya. Banyak masa akan dihabiskan (yang kadang kala terhad) untuk meneliti proses dan prosedur yang menyentuh perkara tajuk. Apabila dirasanya dia telah memahami keseluruhan proses sesuatu 'kerja' maka dia akan balik untuk menulis dramanya. Kerap terjadi kerana keterlaluan sangat mahu memahami teknik serta proses sesuatu usahanya, drama yang dibentuknya menjadi flat seakan-akan sebuah dokumentari Melayu iaitu lebih banyak penerangan daripada menjadi sebuah drama yang mamtap. Di mana silapnya?

Komitmen yang pertama dalam diri penulis apabila dia mahu menulis sesuatu drama adalah menghadkan diri untuk menulis apa yang diketahuinya sahaja. Ini pemikiran dan limitasi rangka otaknya. Tak boleh menulis dalam sesuatu perkara, jangan tulis! Untuk memahami sesuatu perkara, dia buat kajian yang boleh datang dalam berbagai bentuk. Dia boleh memilih untuk mengkaji melalui melihat dokumentari-dokumentari TV atau drama-drama TV yang bersangkutan atau membuat kajian secara khusus di 'lokasi' atau 'premis' penceritaan yang mahu ditulisnya.   

Saya suka melihat pada perkara-perkara kecil dalam sesuatu misi penulisan. Misalnya melihat penjual ais kerim mengeluarkan kon ais kerim, kemudian mencelupnya di air sejuk lalu mengambil air kerim skoop dan cara dia meletakkan semula sudu skoopnya. Ianya satu proses pekerjaan. Fikiran saya akan melayang untuk membentuk satu drama dalam pekerjaan. Misalnya kalau ada ikutan proses, kling kling bunyi loceng, berhenti dan bertanyakan apa yang diinginkan, brek basikalnya, membuka ais box, cara dia mengeluarkan skoop dan kemudiannya proses menyediakan ais kerim skoop. Maka kalau saya mahu dramakan

1. Penjual ais kerim datang dan melalui prosedur di atas, ia akan menjadi sebuah dokumentari.
2. Sentuh satu aspek kemanusiaan, ia akan jadi drama. Contohnya dia sakit, sudah berhari demam tapi terpaksa juga menjual ais kerim kerana upahnya ikut hari. Kebiasaannya laju sahaja dia membuat kerja tapi hari itu, dia tidak sihat. Lantas kerja yang dilakukan nampak terketar dan perlahan. Ada kala pula, peluh yang menitik pun berambu, tidak disedari. Kena pula, budak yang meminta strawberi, diberinya coklat. Kita melihat dia cuba skoop ais kerimnya sekali lagi agak teragak. Proses ini dinamakan mendramakan sesuatu dokumentari. Iaitu dengan memasukkan elemen kemanusiaan di dalam penceritaan. Apa yang harus dilakukan adalah menunjukkan babak kebiasaan terdahulu, tunjukkan pula pengharapan pada babak lainnya dan akhirnya masukkan elemen mood di dalam babak.

Mahu tersentuh lagi. Ada kanak-kanak yang luar biasa cute nya, sentiasa sahaja diberi perhatian penjual ais kerim. Selalu pula bertanya, pakcik sihat ke? Kemudian kita bina pengharapannya. Mungkin sikecil hendakkan sesuatu tetapi benda itu terlarang kerana ada had untuk mendapatkan. Si penjual ais kerim tahu itu kehendaknya, malangnya dia bukan berada. Hari yang ditetapkan dalam pengharapan watak, si penjual pula tidak sihat atau ada halangan lain. Terbina elemen tertanya, mampu kah dia dapat apa dikehendaki? Jadi setiap langkah atau proses menjual ais kerim menjadi gerak pendramaan yang menimbulkan rasa. Setiap kayuhan penjual akan membuat penonton terasa keinginan dan kehendaknya.

Apa yang penting adalah memainkan perasaan penonton melalui proses yang kita perhatikan dari kajian kita. Biar penonton tahu apa yang diharapkan. Penonton tahu kesusahan untuk mendapatkan. Tahu pula kemungkinan ianya tidak tercapai. Kemudian kita masukkan unsur magik, ia boleh diselesaikan, maka ia menjadi drama yang baik.

Itu contoh yang mudah, penjual ais kerim. Pokoknya kita sudah meneliti pekerjaan seorang penjual ais kerim dan memahami proses dia melakukan kerja.

Kalau kita mahu komedikannya kita boleh fikir cara melawakkan suasana melalui kefahaman kita mengenai penjual ais kerim dan kerjanya. Contohnya, kita tahu penjual ais kerim memerlukan skoop, tanpa skoop habislah kerjanya. Isu kerja tak jadi boleh dikomedikan mengikut dedahan mana yang kita mahukan, slapstik atau komedi persekitaran. Apa yang penting adalah kita mendapat ilham dari proses tata kerja seorang penjual ais kerim. Kalau kita faham prosesnya, maka kita mudah membentuk sudut pendramaannya.

Mahu menulis dengan baik, maka fahami sesuatu proses 'pekerjaan' terlebih dahulu. Tengok kepada aspek benda benda kecil dalam pekerjaan dan letakkan sikit unsur kemanusiaan dalam rutin kerjanya.  
Kerja penulis adalah meneliti sesuatu kerja dan mencari sudut untuk mendramakannya. Aspek paling penting adalah penonton. Kita buat drama bukan untuk syok sendiri atau untuk seronokkan pelakon berlakon. Kita nak penonton memahami apa yang kita tulis. Lebih seronok lagi, kita nak mereka rasa apa yang kita tulis.

Penulis biasa akan merumuskan sesuatu aspek 'kerja'nya tanpa meneliti aspek kecil dalam meneliti karektornya. Ini berlaku kerana dia tidak berpengetahuan dalam aspek perwatakan yang ditulisnya. Tidak tahu kerja sebagai reporter macam mana nak fahami aspek kecil yang boleh mencantikkan drama sebagai reporter.  

Penulis biasa akan membuat babak-babak general untuk mendramakan cerita mereka tetapi penulis yang baik dapat menggunakan aspek-aspek detail atau halus dalam sesuatu perwatakan kerana dia mengkaji dedahan perwatakannya. 

Kita ambil contoh lakonan Robert Redford sebagai seorang general dalam The Last Castle. Cerita lama yang sangat baik kalau kita mahu menilai aspek melakukan kajian dan aspek memasukki detail pengkajian dalam bentuk drama. Begitu cantik dedahan Redford dalam menghayati watak seorang general yang dihukum penjara kerana kecuaian. Kita lihat bagaimana prosedur seorang tentera diikuti dan bagaimana Redford begitu berjaya memainkan unsur unsur halus dalam pekerjaan seorang general dalam karektornya. Bagaimana membentukkan rasa dalam rutin harian seorang tentera. Tengok drama ini dan kita akan faham tekniknya.

Begitu juga dalam Titanic, pengkajian dilakukan terdahulu bagaimana keadaanya Titanic dan kemudiannya mengambil elemen kecil dan detail untuk mendramakan. Contohnya, ada bahagian dikhaskan untuk orang yang susah dan bahagian untuk orang yang kaya. Premis digunakan dengan memasukkan unsur rasa dalam pendramaan. Lahirnya babak-babak bagaimana orang susah menghabiskan masanya. Bagaimana pula mereka yang kaya menghabiskan masa mereka di atas Titanic. Tanpa kajian mengenai premis, macam mana kita nak bentukkan elemen rasa dalam penceritaan.

Filem The Natural, juga lakonan Robert Redford adalah satu lagi dedahan di mana pelakonnya memahami proses atau rutin harian seorang pemain bola lisut. Ceritanya amat cantik di mana seorang lelaki yang sudah melewati jangkauan usia untuk menjadi seorang pemain bola lisut profesional menceburi bidang tersebut kerana bakat semulajadinya di usia tuanya. Kalau mahu mengkaji aspek membuat kajian mengenai sesuatu bidang dan memasukkan elemen rasa di dalam pendramaan maka tiga buah cerita ini adalah cerita-cerita yang baik untuk ditonton.

Drama kita pula... hmmm.... kalau reporter asyik bercinta saja. Kalau yang kerja kilang pun asyik bercinta juga dan fikir bagaimana nak kahwin si dia. Kalau general pun asyik cinta juga. Reporter, kerja kilang dan seorang general tentera sama saja. Cara dialog disampaikan pun sama juga. Penulis kita tidak memahami 'kerja' watak untuk mencantikkan perwatakan. Kalau tahu, kita boleh menulis mengenai kesungguhan seorang general berdiri di tengah panas selama dua hari lamanya untuk menyatakan protesnya. Ia melanggar kebiasaan tetapi apabila dihayati wataknya, melanggar kebiasaan dalam diri tentera adalah sesuatu yang mengharukan.  

Selalu saya ketengahkan bahawa 4 elemen penting harus diwujudkan untuk menimbulkan rasa dalam pendramaan. Unsur hiburan, romance, pengembaraan dan magik. Keempat elemen ini amat penting untuk mencantikkan drama dan memainkan unsur rasa. Unsur hiburan khususnya watak comical (lawak) atau muzik dalam bentuk montaj (montaj biasa atau montaj dramatik) adalah untuk penonton merehatkan rasa dan minda. Unsur romance atau percintaan adalah untuk memainkan perasaan penonton menghayati permasalahan watak. Kita memberi sedikit harapan dan ruang untuk berfikir kepada penonton. Unsur pengembaraan adalah rangka plot yang bergerak untuk memberi keseronokan kepada penonton menghayati penceritaan. Cerita mesti bergerak, daripada tidak kenal, pergi ke kenal, pergi kepada bermusuhan, pergi kepada halangan luar, timbulkan sedikit harapan melalui jalan keluar yang rumit, dan sebagainya. Unsur akhir adalah memasukkan elemen magik dalam penyelesaian. Kadang kala benda yang tidak disangka berlaku. Ini memberi harapan dan keseronokan kepada penonton.

Masukkan unsur unsur ini dalam aspek perwatakan dengan menghayati 'rutin kerja' watak. Cari elemen halus dalam rutin kerja. Menulislah dengan pintar iaitu dengan meletakkan penonton di hadapan kita dan fikirkan cara bagaimana mahu memainkan perasaan penonton.

 

PASKAL: BUAT FILEM JADINYA DOKUMENTARI

PASKAL: BUAT CERITA JADI DOKUMENTARI Satu-satu masalah besar dalam penulisan atau melahirkan karya adalah menjadikan sebuah cerita itu...